Wednesday 13 May 2009

إذا تطلب الدنيا لنفسك تركبك سيدة لك, وإذا تتركها لربك تركبها سيدا لها

Maksudnya :

'Sekiranya kamu mencari dunia untuk dirimu sendiri nescaya kamu akan mendapatnya tetapi kamu menjadi hamba atau alat tunggangannya, dan sekiranya kamu meninggalkannya kerana Tuhanmu nescaya kamu akan mendapatnya tetapi kamu menjadi tuan baginya'.


Dunia dan segala isinya adalah ujian bagi setiap mukmin yang ingin berjalan menuju Tuhannya yang Maha Agung. Ia sangat disukai oleh hawa nafsu dan sering menggoda setiap bani adam agar menuruti kehendaknya walaupun ia durhaka atau melanggar larangan Tuhannya atau meninggalkan suruhan-Nya. Dunia itu amat mempersonakan mata zahir setiap insan yang memandangnya lalu terpegun dengan kilauannya yang amat memukau. Semuanya seolah-olah kelihatan indah, sempurna dan abadi. Daripada pandangan mata zahir maka sampailah dunia itu ke hati insan lalu bercambah, tumbuh, subur dan menguasai hatinya. Bila ia sudah berkuasa dan memerintah hatinya, maka lahirlah tingkahlaku, watak dan keperibadian yang tidak sesuai dengan apa yang sepatutnya dimiliki oleh seorang manusia yang hakiki. Setiap manusia yang sudah dikuasai oleh dunia dan hawa nafsu itu tidak lebih daripada seekor keldai yang menuruti sahaja kehendak tuannya dan menerima apa jua yang diberikan oleh tuannya itu walaupun siksaan dan kata-kata nista serta maki hamun. Kepatuhannya tidak berbelah bahagi kerana dia sudah tiada kemampuan lagi untuk memilih apa yang sepatutnya dia buat. Inilah gambaran manusia yang mengejar dunia kerana menurut hawa nafsunya sehingga dia menjadi hamba kepada dunia dan dunia pula menjadi tuannya. Tanda dia ditunggangi dan diperhambakan oleh dunia ialah kesanggupannya untuk meninggalkan suruhan dan melanggar segala larangan Allah SWT dan Rasul-Nya s.a.a.w. Di kala itu, pudar dan lenyaplah sifat kemanusiaannya dan yang tinggal hanyalah sifat, keperibadian dan watak seekor keldai yang menerima seadanya perlakuan tuannya yang zalim lagi jahat itu.


Sebaliknya jika seseorang manusia itu meninggalkan dunia dalam ertikata bukan mencari dunia menurut kehendak hawa nafsunya, maka dia tetap juga memperolehi dunia tetapi dalam keadaan dia menjadi tuan kepada dunia. Dia memperalatkan dunia untuk kepentingan akhiratnya. Dia melihat sifat, kedudukan dan keadaan dunia menerusi pandangan mata hatinya ('ainul bashirah) lalu tergambarlah hakikat dunia kepadanya sehingga mencetuskan rasa ingin jauh daripadanya kerana dunia itu bila ia menguasai manusia maka manusia berubah menjadi haiwan yang bodoh lagi hina. Namun begitu, dia tetap menerima qadha' dan qadr Allah SWT yang telah menghidupkannya di alam ini lalu dia mengambil sedikit sahaja daripadanya untuk keperluan akhiratnya. Dia akan meninggalkan semua yang haram dan bersederhana dalam menggunakan apa yang halal serta berhati-hati terhadap setiap yang harus. Keadaannya tidak lebih daripada keadaan seorang hamba yang tidak banyak pilihan dalam hidupnya kerana redha menerima segala ketetapan dan kententuan Tuhannya yang Maha Mengetahui segala sesuatu termasuklah segala keperluan hidup setiap makhluk-Nya.


Inilah jalan hidup orang-orang yang soleh di setiap masa dan tempat. Kedudukan mereka di alam ini sama sekali tidak akan menjejaskan sifat hamba yang ada pada mereka. Dunia pasti akan kecewa selama-lamanya dengan sikap orang-orang soleh yang diberikan kekuatan oleh Allah SWT untuk terus hidup sebagai hamba abdi-Nya walaupun mereka menjawat jawatan pemimpin atau seorang hartawan. Matlamat hidup mereka hanyalah Allah SWT dan jalan untuk sampai ke matlamat tersebut tidak lain hanyalah jalan yang telah ditunjukkan oleh Baginda Rasulullah s.a.a.w. iaitu jalan hidup Islam. Oleh itu, setiap sa'at daripada umur yang diamanahkan oleh Allah SWT, mereka gunakan untuk mendekatkan diri kepada-Nya dengan mengerjakan segala rupabentuk kebaikan sama ada yang khusus mahupun yang umum. Semua ini dilakukan kerana meneladani Baginda Rasulullah s.a.a.w. lantaran tujuan utama pengutusan Baginda s.a.a.w. ke alam ini ialah untuk mengembalikan seluruh manusia kepada sifat hamba yang hakiki kerana hanya dengan sebab itu mereka akan dapat melihat ketuhanan Allah SWT dan merasai kehambaan setiap hamba.

No comments:

Post a Comment