Tuesday 5 May 2009

Siri 1 : Sadah Bani Alawi BUKAN Syi'ah!!!

Akhir-akhir ini ada saja fitnah yang muncul di tengah-tengah ummat yang sememangnya sedang tenat bergelut dalam krisis keyakinan, perselisihan faham, akhlaq, perpecahan dan banyak lagi bentuk krisis yang mana semua krisis itu boleh disimpulkan dalam satu tajuk 'Krisis Ilmu dan Iman'.
Ada di antara fitnah itu timbul semula setelah sekian lama tidak kedengaran dan kelihatan di khalayak ramai. Namun begitu, setelah promosi besar-besaran dilakukan oleh pihak tertentu untuk ' memunculkan ' semula fitnah tersebut maka timbullah ia di tengah-tengah ummat ini yang tidak lebih dari 'garam' bagi menambahkan kepedihan atau memedihkan semula luka lama yang masih lagi belum sembuh. Syiah - itulah fitnah lama yang telah muncul semula..boleh jadi ia adalah tanda bahawa akhir zaman telah tiba.

Dalam masa yang sama, Ahlulbait al-Nabawi khususnya dari kalangan Sadah Aali Abi Alawi atau Bani Alawi atau Ba'alawi atau Alawiyyin telah berfungsi dan berperanan semula di pentas dakwah dengan tujuan membawa seluruh manusia kembali kepada Allah SWT dan Rasul-Nya s.a.a.w. dalam semua urusan hidup dengan mengikuti jalan yang telah diajarkan oleh Baginda Rasul s.a.a.w., para sahabah yang mulia dan para solihin yang benar. Maka muncullah nama-nama besar seperti Al-Habib Umar bin Muhammad bin Salim Bin Hafiz Bin Syeikh Abu Bakr hafizahullahu Ta'ala, Al-Sayyid Muhammad bin Alawi bin Abbas Al-Idrisi Al-Hasani dan lain-lain lagi. Serentak dengan itu, amalan generasi Salaf Sadah Bani Alawi kembali segar setelah sekian lama lesu lalu bergemalah di seluruh pelosok alam dengan bacaan Ratib-ratib dan wirid-wirid al-Imam Umar bin Abdurrahman Alattas dan al-Imam Abdullah bin Alawi al-Haddad, bahkan maulid-maulid yang telah disusun oleh tokoh-tokoh ulama' merekapun turut dikumandangkan sehingga alam ini tidak sunyi daripada solawat dan salam serta madah terhadap Baginda Rasulullah s.a.a.w.

Serentak dengan itu, timbul pula golongan ' Pembid'ah ' dan ' Penyesat ' ummat yang tidak lebih dari sekadar tukang pahat yang berbunyi setelah rumah siap dibina sedangkan sewaktu orang bertungkus lumus membinanya mereka tidak kelihatan langsung. Mereka membid'ahkan tahlil, bacaan yasin di malam juma'at, gunut subuh, talgin dan sebagainya. Mereka mendakwa ada hujjah dan dalil lalu menjaja pandangan mereka ke sana dan ke mari dan disebarkan dalam pelbagai media. Tujuan mereka hanyalah satu iaitu untuk menjauhkan orang awam daripada amalan yang telah sekian lama berakar umbi dalam masyarakat tanpa mereka sedar atau mereka memang tidak mahu sedar bahawa para ulamak yang memperkenalkan amalan tersebut suatu masa dulu mempunyai hujjah dan dalil mereka sendiri yang tidak terpisah daripada sumber dan kaedah syara'. Akibatnya ada di antara orang awam yang terpengaruh lalu berpegang dengan 'keyakinan dan pandangan' mereka kerana takut terjerumus dalam kancah kesesatan yang akan membawa ke neraka. Ya Allah! Kenapa begini keadaan kami bila Sayyiduna Rasulullah s.a.a.w. sudah tiada di dunia ini?

Adakah kemunculan semua fenomena ini secara kebetulan atau ia adalah ketentuan Allah SWT yang Maha Berkuasa ke atas segala makhluk-Nya yang tidak memiliki apa-apa ini?

Aku akan kemukakan pandanganku mengenai 'Kenapa muncul semula tokoh Ahlulbait khususnya Sadah Bani Alawi ' di pentas dakwah hari ini dalam posting yang berasingan. Dalam posting ini, aku hanya ingin mengemukakan ketegasan kami Sadah Bani Alawi dalam mempertahankan pegangan kami baik daripada sudut 'agidah, figh mahupun tharigah. Semoga dengan penjelasan dan ketegasan ini, tiada lagi yang akan menuduh atau percaya dengan dakwaan segolongan manusia yang tidak segan silu mengenderai atau memperkudakan kami bagi mencapai maksud politik mereka bahawa kami adalah syi'ah atau pengakuan bohong mereka bahawa mereka mencintai kami 'kunun'nya cinta mereka itu terhadap kami sesuai dengan tuntutan Al-Guran dan Al-Hadith. Ketegasan kami itu terangkum dalam ungkapan berikut :


نحن الأشعري عقيدة والشافعي فقها والعلوية طريقة

Maksudnya : 'Kami (Sadah Bani Alawi) adalah pengikut aliran Imam Abul Hasan al-Asy'ari dalam aqidah, mazhab Imam al-Syaf'i r.a. dalam figh dan aliran Alawiyyah dalam tharigah'

Inilah ketegasan kami sejak zaman berzaman dan akan kubuktikan dengan tulisan-tulisan para salaf kami seperti Muhyinnufus wa syams al-syums al-Imam Abdullah al-'Aidarus bin Abu Bakr Assakran bin Abdurrahman Aseggaf radhiyallahu 'anhum, Gutb al-Irsyad wa ghauts al-'Ibad wal bilad al-Imam Abdullah bin Alawi al-Haddad dan lain-lain lagi. Bagi kami, pandangan mereka adalah hujjah dan pegangan kerana mereka mengambilnya dari generasi pendahulu mereka sehingga kepada Baginda Rasulullah s.a.a.w. dan itulah pegangan dan keyakinan yang benar lagi mu'tabar. Kalaupun ada beberapa individu dari kalangan Bani Alawi yang terjerumus ke dalam kancah fitnah syi'ah ini, maka mereka sebenarnya telah tergelincir dari landasan kebenaran lalu jatuh ke dalam jurang kesesatan dan kebathilan. Tindakan dan pandangan mereka bukanlah hujjah, apatah lagi untuk dipegang oleh ummat. Keyakinan dan pegangan kami ini bukan diasaskan di atas fanatik kesukuan atau bangsa tetapi ia terbina di atas hujjah dan dalil syara' yang terang lagi nyata... to be continued





No comments:

Post a Comment