Tuesday 5 May 2009

Siri 2 : Sadah Bani Alawi BUKAN Syi'ah !!!

Dalam Siri 1 sebelum ini, aku telah sebutkan bahawa aku akan kemukakan hujjah dan dalil yang membuktikan bahawa kami, sadah Bani Alawi, tidak ada kena mengena dengan golongan syi'ah baik rafidhah, imamiyyah, zaidiyyah mahupun firgah syi'ah yang lainnya. Dalam posting ini, aku akan kemukakan sebahagian daripada pandangan-pandangan tokoh-tokoh kami dan tokoh ulama' sunni yang lain mengenai pegangan dan keyakinan, aliran figh dan tharigah yang kami ikuti. Pada padanganku, ia sudah cukup untuk membuktikan bahawa kami BUKAN syi'ah dan tidak akan menjadi pengikut syi'ah sampai ke Hari Giyamah kerana sesungguhnya golongan syi'ah, walau daripada firgah mana sekalipun, adalah termasuk dalam firgah yang sesat dan ahli bid'ah dhalalah sesuai dengan hadith shahih riwayat para ulama' hadith sunni yang amanah dalam nagal(pemindahan hadith) dan magal(tafsiran hadith).

Di dalam kitab al-Kibrit al-Ahmar karangan al-Imam Abdullah Al-'Aidarus bin Abu Bakr Assakran, terdapat kenyataan beliau mengenai 'agidah, aliran figh dan tharigah yang kami ikuti. Aku sebutkan sebahagian daripadanya untuk posting ini. Beliau telah berkata :


'Agidah Ahlussunnah wal Jama'ah adalah sebagaimana yang terdapat di dalam syair Syeikh 'Abdullah bin As'ad al-Yafi'i r.a. iaitu bait-bait berikut:


Maha Tinggi Allah daripada bentuk, tempat atau masa,

juga daripada apa sahaja yang dapat digambarkan oleh fikiran kita,

dan daripada sifat kekurangan, keserupaan, sekutu, bapa,

anak dan isteri-isteri. Dialah Allah yang Maha Besar,

yang Sedia ada, yang Maha Berkata-kata tanpa huruf...


dan bait-bait seterusnya yang menjelaskan pegangan Ahlusunnah wal Jama'ah aliran Asya'irah dan Maturidiyyah yang mentahbitkan sifat bagi Allah SWT.


Beberapa bait terakhir menjelaskan keyakinan mereka berhubung dengan sahabah iaitu :


Sebaik-baik masa (kurun) adalah masa sahabah,

urutan yang terbaik di antara mereka

adalah tepat seperti yang mereka tetapkan,

mereka semua adalah bintang-bintang yang membawa petunjuk

semunya adil dan baik hati,

kemuliaan mereka masyhur dan tidak bisa diengkari,

yang utama di antara mereka adalah al-Shiddig yang memiliki kemuliaan,

sedangkan yang keempat daripada sudut keutamaan

adalah Haidar (Sayyidina Ali ) yang memiliki kemuliaan.


Selain daripada beliau, al-Habib Ali bin Abu Bakr Assakran r.a. juga telah menjelaskan pegangan kami sadah Bani Alawi seperti berikut:

Duhai saudaraku, jauhilah bid'ah dan para pelakunya. Tinggalkanlah dan singkirkanlah segala bid'ah. Berpalinglah dari para pelakunya dan jangan bergaul dengan mereka. Ketahuilah, sumber bid'ah di dalam perkara usul (agidah) ada tujuh, sebagaimana yang telah disebutkan oleh para ulama', iaitu:


Pertama: Al-Mu'tazilah yang menyatakan bahawa hambalah yang menciptakan amal-amal mereka. Kelompok ini meyakini bahawa Allah tidak mungkin dapat dilihat (di dunia mahupun akhirat) serta Allah wajib memberikan pahala kepada orang-orang yang berbuat kebaikan dan wajib pula menyiksa orang yang melakukan maksiat. Golongan ini berpecah menjadi 20 aliran.

Kedua: Syi'ah iaitu orang-orang yang melampaui batas dalam mencintai Sayyidina Ali r.a. Mereka berpecah menjadi 22 aliran.

Ketiga: Khawarij iaitu mereka yang terlalu berlebih-lebihan dalam membenci Sayyidina Ali r.a. Menurut pandangan mereka Sayyidina Ali r.a. dan orang-orang yang melakukan dosa besar adalah kafir. Golongan ini berpecah menjadi 20 aliran.

Keempat : Murji'ah iaitu golongan yang berpendapat bahawa jika seseorang telah beriman, maka maksiat tidak akan membawa keburukan baginya dan jika seseorang itu kafir, maka ta'at tidak bermanfa'at baginya. Mereka berpecah menjadi 5 aliran.

Kelima : Najjariyyah iaitu mereka yang sependapat dengan Ahlussunnah wal Jama'ah dalam masalah penciptaan amal, tetapi dalam masalah peniadaan sifat-sifat Allah SWT dan bahawasanya Kalamullah itu baharu, mereka sama dengan mu'tazilah. Mereka berpencah menjadi 3 aliran.

Keenam : Jabariyyah pula merupakan golongan yang berpendapat bahawa manusia sama sekali tidak memiliki ikhtiar. Mereka terdiri daripada 1 aliran sahaja.

Ketujuh : Musyabbihah pula adalah golongan yang berpendapat bahawa Allah SWT memiliki tubuh yang sama dengan makhluk-Nya dan juga dapat menitis (hulul) kepada makhluk-Nya. Mereka juga terdiri daripada 1 aliran sahaja.

Inilah 72 golongan yang akan menetap di dalam neraka. Adapun golongan yang selamat adalah Ahlussunnah wal Jama'ah.

to be continued..



























No comments:

Post a Comment