Wednesday 6 May 2009

Sifat-sifat mukmin sejati...

Kadang-kadang malu juga rasanya bila aku mengaku mukmin sedangkan padaku kurang sifat-sifat seorang mukmin yang sejati. Namun, di hatiku tetap terpendam keinginan untuk memiliki sifat-sifat tersebut kerana ia adalah syarat untuk meraih kemuliaan di sisi Allah SWT dan Rasul-Nya s.a.a.w. Menjadi muslim dan dinamakan dengan nama seorang muslim belum cukup untuk mencapai martabat seorang mukmin yang sejati kerana muslim dan mukmin itu dua martabat insan yang berbeza. Setiap mukmin pasti seorang muslim tetapi tidak semestinya setiap muslim itu seorang mukmin sejati. Hal ini bakyak diungkapkan oleh Allah SWT dan Rasulullah s.a.a.w. di dalam Al-Quran dan Al-Hadith. Di sini aku sebutkan sebahagian sahaja daripadanya sebagai renungan dan muhasabah diri. Di dalam surah al-Anfal, ayat : 2 - 4 Allah SWT memerintahkan setiap orang mengaku mukmin itu agar memiliki sifat-sifat iman yang hakiki. Jika tidak, maka imannya itu hanyalah dakwaan dan pengakuan tanpa bukti yang kebenarannya patut dipersoalkan. Perhatikan penjelasanku ini :


Pertama : Gementar hati bila disebut nama Allah SWT

Seorang mukmin yang sempurna imannya atau mukmin sejati adalah seorang yang hatinya gementar apabila disebut nama Allah SWT dan sifat-sifat keagungan dan kebesaran-Nya. Perasaan gementar ini bukanlah dibuat-buat tetapi ia terjadi sendiri kerana merasa keagungan dan kehebatan kuasa dan kehendak Allah SWT. Perasaan seperti ini tidak menentukan keadaannya. Kadang-kadang ia ada dan kadang-kadang tidak. Ia sama seperti iman yang bertambah dan berkurang menurut kadar keta'atan seseorang itu. Inilah pendapat yang dipegang oleh Imam Malik r.a., al-Syafi'i r.a. dan jumhur ulama' ahlussunnah wal Jama'ah dalam masalah ini. Ada di kalangan para solihin yang jatuh pengsan bila mendengar nama Allah SWT disebutkan sebagai tanda sempurnanya iman mereka. Sifat-sifat dan nama-nama-Nya sudah cukup untuk menerangkan siapa sebenarnya Tuhan semesta alam ini. Namun begitu, hanya hati yang dipenuhi oleh iman dan telah mengecapi nikmat yakin akan gementar kerana gerun dan takut pada Allah SWT, Tuhan yang Maha Pengasih dan Penyayang.


Kedua : Bertambah iman bila dibacakan ayat-ayat Allah SWT

Al-Guran mengandungi firman Allah SWT yang berkaitan dengan hukum-hakam, kisah tauladan, pengajaran dan lain-lain lagi. Di dalamnya juga terkandung ayat-ayat yang memberitahu tentang kebesaran, keagungan dan kehebatan Allah SWT. Setiap ayat Al-Guran yang dibaca akan memberikan kesan yang mendalam ke dalam hati dan nurani seorang mukmin yang sejati. Ia boleh membuatkannya gembira, sedih, takut, gerun, berharap dan berbagai-bagai lagi perasaan yang tercetus akibat keimanan yang mendalam terhadap Al-Guran. Ini semua berlaku kerana dalamnya keimanan terhadap Allah SWT, Rasul-Nya s.a.a.w. dan Hari Giyamah, juga kerana hubungan yang senantiasa terjalin dengan kalamullah iaitu cara selalu membacanya dengan penuh tadabbur, khusyu' dan tawdhu' di hadapan Allah SWT Pemilik Al-Guran. Sikapnya terhadap Al-Guran adalah sikap geneasi pertama Islam iaitu generasi para sahabah yang tidak mengambil sebagai Al-Guran sebagai media untuk popular melalui majlis tilawah tetapi mengambil Al-Guran sebagai panduan hidup bagi mengatur ehwal zahir dan bathinnya di samping Baginda Rasulullah s.a.a.w. sebagai pentafsir secara teori dan amali baginya. Bila hubungan intim sudah terjalin dengan kalamullah tersebut, akan terbitlah perasaan tidak mahu berpisah walaupun sesa'at, rindu untuk bersamanya dan tenang serta senang bila dapat kesempatan untuk membacanya. Hati mukmin seperti sahaja yang dapat mengecapi nikmat iman terhadap Al-Guran dalam ayat ini iaitu bertambah imannya bila mendengar bacaan atau menbacanya sendiri dengan penuh tadabbur untuk mengambil panduan daripadanya.


Ketiga : Bertawakkal kepada Allah SWT dalam setiap perkara


Tawakkul atau tawakkal adalah buah daripada yakin yang sempurna. Yakin pula dicapai dengan ilmu yang mantap dari sumber yang benar lagi terpecaya. Tanpa yakin tidak mungkin adanya tawakkal. Seorang mukmin yang sejati memiliki keyakinan yang sempurna dan ia hidup di atas keyakinan tersebut dalam semua perkara. Penyerahan diri secara total kepada ketentuan dan peutusan Allah SWT ini dilakukan kerana ia yakin dan sangat percaya bahawa Dialah penentu segala perkara, dan dia hanyalah seorang hamba yang tidak punya banyak pilihan dalam hidupnya melainkan apa yang telah ditentukan oleh Tuannya iaitu Allah 'Azza wa Jalla. Baginya keputusan dan ketentuan Allah SWT itulah sahaja keputusan dan ketentuan yang pasti dan mesti diterimanya dengan penuh keimanan dan keredhaan. Walaupun sukar baginya untuk menerima dan melaksanakan keputusan tersebut, akan tetapi kesukaran itu menjadi enak dan lazat bila ia didasari oleh keimanan dan keyakinan bahawa Allah SWT adalah penolong dan pembantu yang tiada tolok bandingnya. Justeru itu, seorang mukmin sejati itu tidak akan bimbang dan risau terhadap apa yang bakal ditempuhinya dalam menunaikan keta'atannya kepada Allah SWT. Lihatlah jaminan Allah SWT terhadap orang seperti ini di dalam firman-Nya yang bermaksud :


"Dan janganlah kamu merasa hina dan berdukacita (sedih) kerana kamulah yang orang yang paling tinggi darjatnya jika kamu benar-benar beriman (mukmin)"


Keempat : Senantiasa mendirikan solat

Solat merupakan manifestasi bagi keimanan seseorang mukmin sejati kepada Allah SWT, Rasulullah s.a.a.w., Hari Akhirat dan dasar-dasar keimanan yang lain. Ia adalah jalan utama untuk mengeratkan hubungan di antara di seorang hamba dengan Tuhannya. Tanpa solat, maka putuslah hubungan tersebut dan jauhlah ia daripada sebarang kebaikan kerana setiap kebaikan itu hendaklah dibina di atas keta'atan yang sempurna terhadap Allah SWT dan solat merupakan keta'atan yang paling utama. Lantaran itu, Allah SWT berfirman yang maksudnya :


"Sesungguhnya solat itu (senantiasa) mencegah (seseorang) daripada perbuatan ya ng keji dan mungkar".

Solat yang dimaksudkan di dalam ayat ini ialah solat yang ditunaikan dengan menyempurnakan semua syarat dan rukunnya, serta difahami falsafah dan prinsipnya juga dihayati setiap perbuatan dan ucapan di dalamnya. Ia juga hendaklah diambil daripada Baginda Rasulullah s.a.a.w. kerana Baginda s.a.a.w. telah bersabda yang kira-kira bermaksud:

"Solatlah kamu sepertimana kamu melihat aku solat".


Bagaimana kita dapat melihat Baginda s.a.a.w. solat dan meneladaninya padahal Baginda s.a.a.w. telah wafat?


Benar, Baginda s.a.a.w. telah lama meninggalkan kita, tetapi pewarisnya masih ada dan tetap akan ada sehingga ke Hari Giyamah iaitu para ulama' yang soleh lagi wara'. Merekalah yang mewarisi khazanah nabawiyyah yang mereka terima dan ambil daripada guru-guru seperti mereka dari generasi-generasi sebelum mereka. Para solihin solat seolah-olah mereka melihat Allah SWT sehingga mereka tidak tahu apa yang berlaku di sekeliling mereka dan kalau mereka tahupun, mereka tidak terdaya untuk memperdulikannya kerana terlalu khasyi' dan sibuk dengan Tuhan mereka. Zahir dan bathin mereka tunduk dan menyembah Allah SWT dengan penuh gerun dan kehambaan. Mereka pada hakikatnya tiada di dunia ini walaupun jasad mereka dapat dilihat. Beginilah keadaan mereka di luar waktu solat, senantiasa mengeratkan hubungan dengan Allah SWT dengan melakukan berbagai-bagai amalan kebaikan yang boleh mendekatkan diri kepada-Nya walaupun amalan tersebut harus. Dengan itu, terpancarlah kemuliaan akhlag dan kehalusan adab daripada keperibadian mereka di mana ia merupakan buah yang keluar daripada hati dan jiwa yang subur dengan keta'atan terhadap Allah SWT.


Kelima : Menafkahkan harta kerana Allah SWT


Harta atau dalam istilah kami - dunia - merupakan punca segala kejahatan dan keburukan walapun ia ada manfa'atnya. Ia sangat dicintai oleh manusia yang dikuasai oleh hawa nafsu dan mengikut telunjuk syaitan yang dilaknat. Ada manusia yang sanggup meninggalkan kewajiban Islam dan melanggar larangannya semata-mata kerana ingin memperolehi dunia. Lantaran itu, ada orang yang sengaja meninggalkan solat fardhu atau meringan-ringankannya, memakan hak orang lain dengan jalan bathil, menyalahgunakan kuasa dan mengkhianati amanah dan sebagainya. Akan tetapi, seorang mukmin hakiki, rela menafkahkan hartanya semata-mata kerana menunaikan perintah Allah SWT sama ada ia perintah berzakat, bersedekah atau pemberian harus yang lain. Bezanya mereka berbuat demikian bukan kerana ingin mendapatkan rebet cukai dengan berzakat atau pujian dan sanjungan dengan sedekah tetapi kerana menta'ati Allah SWT dan Rasul-Nya s.a.a.w. Mereka menyakini bahawa harta atau dunia ini adalah kurniaan Allah SWT semata-mata yang bukan sahaja untuk kepentingan dan keperluan mereka tetapi juga untuk orang lain. Mereka sangat bimbang terhadap ancaman siksa daripada Allah SWT kerana tidak menunaikan hak orang lain yang ada pada harta mereka. Bahkan dengan menjauhkan diri daripada kecintaan terhadap dunia akan mendekatkan diri mereka kepada Allah SWT dan mudah untuk melakukan keta'atan. Mereka tidak mahu menjadi seperti sebahagian usia yang diperhambakan dan diperalatkan oleh dunia. Bagi mereka dunia itu hanyalah sarana untuk mencapai kehidupan akhirat yang bahagia, bukannya matlamat hidup yang hakiki.


Oleh kerana itulah, para solihin memilih untuk hidup fagir iaitu hanya berhajat kepada Allah SWT dan menerima segala kurniaan-Nya dengan penuh qana'ah (menerima seadanya). Mereka hanya mengambil dunia ini sekadar yang diperlukan oleh diri dan orang berada yang di bawah tanggungjawab mereka. Kalau dikurniakan harta yang lebih, ia akan dikongsikan dengan orang lain melalui amalan-amalan zakat, sedekah, tabarru' dan sebagainya. Mereka meninggalkan mahkluk yang fana' dan bergantung sepenuhnya kepada Allah Tuhan yang Kekal Abadi.


Nah! Apa yang kuhidangkan untuk kalian ini ialah santapan hati dan jiwa. Tiga yang pertama adalah sifat hati seorang mukmin sejati manakala bakinya adalah sifat yang zahir. Tugas kita sekarang ialah menilai diri, bukannya menunding jari kepada orang lain. Adakah kita memiliki hati dan keperibadian seperti itu? Atau kita hanya mengaku mukmin tanpa bukti lalu lemas dalam angan-angan yang dinyalakan oleh hawa nafsu dan disemarakkan oleh syaitan? Kalau kita sibuk melihat keaiban diri, nescaya kita tiada masa dan kesempatan untuk melihat keaiban orang lain. Jika kita bersedia untuk mencerca diri sendiri, nescaya kita tidak akan sanggup menghina orang lain.


Teladanilah orang-orang dahulu yang soleh. Mereka lebih baik daripada kita walaupun hidup tanpa teknologi. Mereka lebih bijak daripada kita walaupun bukan graduan universiti. Mereka lebih maju daripada kita walaupun mengenepikan duniawi. Mereka cemerlang dan terbilang kerana mereka memilki sifat hamba dan khalifah Allah yang sejati. Seluruh struktur institusi mereka dibina di atas dasar iman dan tagwa, berpandukan syari'at dan disinari oleh cahaya akhlag dan adab yang mulia. Ummat terdahulu dibina oleh individu yang soleh lalu melahirkan keluarga yang soleh dan membentuk masyarakat yang soleh yang akhirnya membangunkan daulah yang soleh. Pemimpinnya tawadhu' (merendah diri) walaupun berstatus khalifah Allah SWT kerana senantiasa gerun terhadap Allah SWT dan menghayati sifat kehambaannya. Mereka tidak berebut-rebut apatah lagi bercakaran sesama sendiri untuk menjadi pemimpin kerana mereka tahu bahawa orang yang paling layak untuk memimpin dan diberikan kesetiaan (wala') adalah orang yang paling tinggi darjah keimanan dan ketagwaannya yang terbukti dengan kesolehannya. Bahkan mereka tidak sama sekali menggunakan kedudukan dan amanah kepimpinan yang diberikan untuk meraihkan keduniaan bagi kepentingan diri sendiri dan kelompoknya. Mereka benar-benar pemegang amanah kerana mereka akan dipersoalkan di Hari Mahsyar nanti. Inilah pemimpin idaman setiap mukmin sejati dan tanggungjawab kita ialah melahirkan pemimpin seperti ini untuk menyelamatkan ummah dan alam ini. Ketahuilah, bahawa kita juga akan disoal tentang tanggungjawab dalam urusan imamah dan giyadah kerana Baginda Rasulullah s.a.a.w. telah bersabda yang mafhumnya :

"Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu (pasti) akan disoal tentang orang yang dipimpinnya".

Wallahu a'lam.















1 comment:

  1. Assalamualaikum ya akhi ,,
    mohon share ya ,, syukran

    ReplyDelete