Wednesday 13 May 2009

إذا تطلب الدنيا لنفسك تركبك سيدة لك, وإذا تتركها لربك تركبها سيدا لها

Maksudnya :

'Sekiranya kamu mencari dunia untuk dirimu sendiri nescaya kamu akan mendapatnya tetapi kamu menjadi hamba atau alat tunggangannya, dan sekiranya kamu meninggalkannya kerana Tuhanmu nescaya kamu akan mendapatnya tetapi kamu menjadi tuan baginya'.


Dunia dan segala isinya adalah ujian bagi setiap mukmin yang ingin berjalan menuju Tuhannya yang Maha Agung. Ia sangat disukai oleh hawa nafsu dan sering menggoda setiap bani adam agar menuruti kehendaknya walaupun ia durhaka atau melanggar larangan Tuhannya atau meninggalkan suruhan-Nya. Dunia itu amat mempersonakan mata zahir setiap insan yang memandangnya lalu terpegun dengan kilauannya yang amat memukau. Semuanya seolah-olah kelihatan indah, sempurna dan abadi. Daripada pandangan mata zahir maka sampailah dunia itu ke hati insan lalu bercambah, tumbuh, subur dan menguasai hatinya. Bila ia sudah berkuasa dan memerintah hatinya, maka lahirlah tingkahlaku, watak dan keperibadian yang tidak sesuai dengan apa yang sepatutnya dimiliki oleh seorang manusia yang hakiki. Setiap manusia yang sudah dikuasai oleh dunia dan hawa nafsu itu tidak lebih daripada seekor keldai yang menuruti sahaja kehendak tuannya dan menerima apa jua yang diberikan oleh tuannya itu walaupun siksaan dan kata-kata nista serta maki hamun. Kepatuhannya tidak berbelah bahagi kerana dia sudah tiada kemampuan lagi untuk memilih apa yang sepatutnya dia buat. Inilah gambaran manusia yang mengejar dunia kerana menurut hawa nafsunya sehingga dia menjadi hamba kepada dunia dan dunia pula menjadi tuannya. Tanda dia ditunggangi dan diperhambakan oleh dunia ialah kesanggupannya untuk meninggalkan suruhan dan melanggar segala larangan Allah SWT dan Rasul-Nya s.a.a.w. Di kala itu, pudar dan lenyaplah sifat kemanusiaannya dan yang tinggal hanyalah sifat, keperibadian dan watak seekor keldai yang menerima seadanya perlakuan tuannya yang zalim lagi jahat itu.


Sebaliknya jika seseorang manusia itu meninggalkan dunia dalam ertikata bukan mencari dunia menurut kehendak hawa nafsunya, maka dia tetap juga memperolehi dunia tetapi dalam keadaan dia menjadi tuan kepada dunia. Dia memperalatkan dunia untuk kepentingan akhiratnya. Dia melihat sifat, kedudukan dan keadaan dunia menerusi pandangan mata hatinya ('ainul bashirah) lalu tergambarlah hakikat dunia kepadanya sehingga mencetuskan rasa ingin jauh daripadanya kerana dunia itu bila ia menguasai manusia maka manusia berubah menjadi haiwan yang bodoh lagi hina. Namun begitu, dia tetap menerima qadha' dan qadr Allah SWT yang telah menghidupkannya di alam ini lalu dia mengambil sedikit sahaja daripadanya untuk keperluan akhiratnya. Dia akan meninggalkan semua yang haram dan bersederhana dalam menggunakan apa yang halal serta berhati-hati terhadap setiap yang harus. Keadaannya tidak lebih daripada keadaan seorang hamba yang tidak banyak pilihan dalam hidupnya kerana redha menerima segala ketetapan dan kententuan Tuhannya yang Maha Mengetahui segala sesuatu termasuklah segala keperluan hidup setiap makhluk-Nya.


Inilah jalan hidup orang-orang yang soleh di setiap masa dan tempat. Kedudukan mereka di alam ini sama sekali tidak akan menjejaskan sifat hamba yang ada pada mereka. Dunia pasti akan kecewa selama-lamanya dengan sikap orang-orang soleh yang diberikan kekuatan oleh Allah SWT untuk terus hidup sebagai hamba abdi-Nya walaupun mereka menjawat jawatan pemimpin atau seorang hartawan. Matlamat hidup mereka hanyalah Allah SWT dan jalan untuk sampai ke matlamat tersebut tidak lain hanyalah jalan yang telah ditunjukkan oleh Baginda Rasulullah s.a.a.w. iaitu jalan hidup Islam. Oleh itu, setiap sa'at daripada umur yang diamanahkan oleh Allah SWT, mereka gunakan untuk mendekatkan diri kepada-Nya dengan mengerjakan segala rupabentuk kebaikan sama ada yang khusus mahupun yang umum. Semua ini dilakukan kerana meneladani Baginda Rasulullah s.a.a.w. lantaran tujuan utama pengutusan Baginda s.a.a.w. ke alam ini ialah untuk mengembalikan seluruh manusia kepada sifat hamba yang hakiki kerana hanya dengan sebab itu mereka akan dapat melihat ketuhanan Allah SWT dan merasai kehambaan setiap hamba.

Monday 11 May 2009

Siri 3 : Sadah Bani Alawi BUKAN Syi'ah!!!

Dalam perkara ini juga, Al-Habib Abdullah bin Alawi Al-Haddad r.a. telah menjelaskan dalam kitab-kitabnya seperti al-Nashoih al-Diniyyah dan Risalatul Mu'awanah sebagaimana berikut maksudnya:

Perbaiki dan luruskanlah agidahmu dengan berpegan pada manhaj (jalan) al-figah al-najiyah (golongan yang selamat) yang dikenali dengan nama Ahlussunnah wal Jama'ah. Ahlussunnah wal Jama'ah adalah orang-orang yang berpegang teguh dengan ajaran Rasulullah s.a.a.w. dan para sahabatnya r.a. Jika kalian teliti Al-Guran dan Al-Sunnah - yang mengamdungi ilmu-ilmu keimanan - dengan pemahaman yang benar dan hati yang bersih (salim), serta kalian pelajari perjalanan hidup para salaf yang saleh daripada kalangan sahabat dan tabi'in, maka kalian akan mengetahui secara yakin bahawa kebenaran ada pada golongan Al-Asya'irah yang dinisbahkan kepada Syeikh Abul Hasan Al-Asy'ari r.a. Beliau telah menyusun agidah ahlulhaq beserta dalil-dalilnya.Itulah agidah yang diakui oleh para sahabah dan tabi'in. Itulah agidah ahlulhaq di setiap zaman dan tempat. Itulah juga agidah seluruh kaum sufi, sebagaimana yang disebutkan oleh Abul Qasim al-Qusyairi pada bahagian awal kitabnya 'al-Risalah'.

Alhamdulillah, itulah agidah kami dan saudara-saudara kami para Sadah al-Husaini yang dikenali dengan sebutan Aali Abi Alawi (Bani Alawi). Itulah juga agidah agidah salaf kami (leluhur kami), sejak dari zaman Rasulullah s.a.a.w. hingga ke sa'at ini.


Al-Imam Al-Muhajir ilallah, Sayyidi Ahmad bin Isa al-Rumi bin Muhammad al-Nagib bin Ali al-"uraidhi bin Al-Imam Ja'far al-Shadig r.a., datuk pada Sadah al-Husaini tersebut, ketika melihat munculnya berbaga-bagai bentuk bid'ah, gelora hawa nafsu dan pertembungan pendapat di Iraq, maka beliau segera berhijrah meninggalkan Iraq. Beliau selalu berpindah-pindah dari satu daerah ke daerah yang lain sehingga akhirnya tiba di Hadhramaut lalu menetap di sana hingga akhir hayatnya. Allah telah memberkati keturunannya, sehingga sangat banyak daripada mereka yang dikenali kerana ilmu, ibadah, kewalian dan ma'rifatnya. Berkat niat al-Imam al-Mu'taman ini, dan hijrah beliau dari tempat-tempat yang penuh fitnah, maka tidak terjadi pada mereka (anak cucunya) apa yang terjadi pada sejumlah ahlulbait lainnya yang mengikuti berbagai-bagai bid'ah dan hawa nafsu yang menyesatkan. Semoga Allah SWT membalas kebaikan beliau kepada kami dengan sebaik-baik balasan yang diberikan kepada seorang ayah di atas jasanya terhadap putera-puteranya. Semoga Allah SWT meninggikan darjat beliau di syurga bersama-sama dengan orang tuanya yang mulia, dan mempertemukan kita dengan mereka dalam keadaan selamat, tidak berubah agidah dan tidak terbabit dengan fitnah. Sesungguhnya Allah SWT Maha Pengasih dari semua yang berjiwa kasih. Di samping itu, agidah al-Maturidiyyah dalam hal ini sama dengan mazhab al-Asya'irah tersebut di atas.


Wahai syi'ah dan musyabbihah!

Hentikanlah perbuatan keji kamu yang tidak pernah jemu mengenderai atau menunggangi kami bagi mencapai maksud jahat kamu. Hari ini, keadaan kami Sadah Aali Alawi sudah cukup tenat kerana mengidap berbagai-bagai penyakit spiritual dan akhlag yang kronik. Kami tidak mahu dan tidak akan menyalahi pegangan leluhur kami dalam agidah, syari'ah dan akhlag. Biarkan kami hidup bersama dengan ummat ini, membaiki diri dan membina semula ummat di atas dasar-dasar Ahlussunnah wal Jama'ah iaitu golongan yang selamat di dunia dan akhirat. Kalau kamu ingin terus hanyut dalam khayalan pegangan kamu, maka teruskanlah sehingga Allah SWT memberi petunjuk kepada kamu atau kamu binasa bersama khayalan pegangan kamu itu.


Wahai saudaraku seIslam sekalian!

Perhatikanlah apa yang telah kunukilkan tentang agidah dan pegangan salaf kami ini. Mereka tiada kena mengena langsung dengan syi'ah bahkan telah berusaha sekuat mungkin dengan pertolongan Allah SWT untuk menjauhkan diri dan zuriat keturunan mereka daripada golongan yang sesat itu. Mereka juga tiada kena mengena dengan mana-mana ahli bid'ah yang lain seperti muysabbihah dan mujassimah. Kami punya agidah dan pegangan sendiri yang telah diajarkan oleh leluhur kami khususnya Baginda Rasulullah s.a.a.w. Kami juga punya mazhab figh sendiri iaitu mazhab al-Imam Muhammad bin Idris al-Syafi'i r.a. walaupun ada di antara salaf kami yang mencapai darjat mujtahid mutlag seperti al-Ustaz al-A'zam al-Fagih al-Mugaddam Muhammad bin Ali r.a. Seterusnya kami juga punya aliran tharigah sendiri yang menggabungkan aliran al-Ghazaliyyah dan al-Syaziliyyah iaitu aliran yang dikenali dengan Tharigah Alawiyyah. Tidakkah itu ajaran Islam yang paling sempurna daripada segi dasar dan cabangnya. Justeru itu, kami Sadah Bani Alawi tidak berhajat kepada selain daripada Ahlussunnah wal Jama'ah, mazhab figh yang tidak mu'tabar dan tharigah sufiyyah yang menyimpang dari kebenaran.


Wahai saudaraku Sadah Bani Alawi!

Kalau ada di antara kalian yang telah terlanjur atau sengaja menjerumuskan diri ke dalam kancah kesesatan dan kebathilan syi'ah atau musyabbihah dan mujassimah, maka bertaubatlah dan kembalilah ke jalan leluhur kita Sadah Aali Abi Alawi yang lurus dan selamat itu. Kalian tidak akan menjadi lebih baik daripada mereka dengan apa yang kalian pegang itu baik daripada segi ilmu, amal, kezuhudan, wara' dan lain-lain lagi. Tindakan kalian itu tidak lebih daripada memburukan lagi fitnah yang dihadapi oleh ummat ini khususnya Sadah Bani Alawi. Jangalah kalian terpesona dengan syi'ah kerana benci terhadap sahabah dan kealpaan golongan Ahlussunnah daripada menunaikan hak-hak kalian. Kalian tidak menjadi hina jika kalian berpegang teguh dengan kebenaran (ahlussunnah) seperti leluhur kalian walaupun seluruh makhluk di alam ini tidak memperdulikan kalian. Sebaliknya, kalian juga tidak mungkin menjadi mulia jika kalian terpedaya dengan kesesatan (syi'ah dan musyabbihah) walaupun seluruh makhluk di alam ini menyanjungi kalian. Ketahuilah, bahawa salaf kita adalah hujjah bukannya syi'ah dan musyabbihah. Kembalilah kepada jalan yang lurus iaitu jalan leluhur kita Sadah Aali Abi Alawi sebelum terlambat dan pintu taubat telah tertutup.

Wednesday 6 May 2009

Sifat-sifat mukmin sejati...

Kadang-kadang malu juga rasanya bila aku mengaku mukmin sedangkan padaku kurang sifat-sifat seorang mukmin yang sejati. Namun, di hatiku tetap terpendam keinginan untuk memiliki sifat-sifat tersebut kerana ia adalah syarat untuk meraih kemuliaan di sisi Allah SWT dan Rasul-Nya s.a.a.w. Menjadi muslim dan dinamakan dengan nama seorang muslim belum cukup untuk mencapai martabat seorang mukmin yang sejati kerana muslim dan mukmin itu dua martabat insan yang berbeza. Setiap mukmin pasti seorang muslim tetapi tidak semestinya setiap muslim itu seorang mukmin sejati. Hal ini bakyak diungkapkan oleh Allah SWT dan Rasulullah s.a.a.w. di dalam Al-Quran dan Al-Hadith. Di sini aku sebutkan sebahagian sahaja daripadanya sebagai renungan dan muhasabah diri. Di dalam surah al-Anfal, ayat : 2 - 4 Allah SWT memerintahkan setiap orang mengaku mukmin itu agar memiliki sifat-sifat iman yang hakiki. Jika tidak, maka imannya itu hanyalah dakwaan dan pengakuan tanpa bukti yang kebenarannya patut dipersoalkan. Perhatikan penjelasanku ini :


Pertama : Gementar hati bila disebut nama Allah SWT

Seorang mukmin yang sempurna imannya atau mukmin sejati adalah seorang yang hatinya gementar apabila disebut nama Allah SWT dan sifat-sifat keagungan dan kebesaran-Nya. Perasaan gementar ini bukanlah dibuat-buat tetapi ia terjadi sendiri kerana merasa keagungan dan kehebatan kuasa dan kehendak Allah SWT. Perasaan seperti ini tidak menentukan keadaannya. Kadang-kadang ia ada dan kadang-kadang tidak. Ia sama seperti iman yang bertambah dan berkurang menurut kadar keta'atan seseorang itu. Inilah pendapat yang dipegang oleh Imam Malik r.a., al-Syafi'i r.a. dan jumhur ulama' ahlussunnah wal Jama'ah dalam masalah ini. Ada di kalangan para solihin yang jatuh pengsan bila mendengar nama Allah SWT disebutkan sebagai tanda sempurnanya iman mereka. Sifat-sifat dan nama-nama-Nya sudah cukup untuk menerangkan siapa sebenarnya Tuhan semesta alam ini. Namun begitu, hanya hati yang dipenuhi oleh iman dan telah mengecapi nikmat yakin akan gementar kerana gerun dan takut pada Allah SWT, Tuhan yang Maha Pengasih dan Penyayang.


Kedua : Bertambah iman bila dibacakan ayat-ayat Allah SWT

Al-Guran mengandungi firman Allah SWT yang berkaitan dengan hukum-hakam, kisah tauladan, pengajaran dan lain-lain lagi. Di dalamnya juga terkandung ayat-ayat yang memberitahu tentang kebesaran, keagungan dan kehebatan Allah SWT. Setiap ayat Al-Guran yang dibaca akan memberikan kesan yang mendalam ke dalam hati dan nurani seorang mukmin yang sejati. Ia boleh membuatkannya gembira, sedih, takut, gerun, berharap dan berbagai-bagai lagi perasaan yang tercetus akibat keimanan yang mendalam terhadap Al-Guran. Ini semua berlaku kerana dalamnya keimanan terhadap Allah SWT, Rasul-Nya s.a.a.w. dan Hari Giyamah, juga kerana hubungan yang senantiasa terjalin dengan kalamullah iaitu cara selalu membacanya dengan penuh tadabbur, khusyu' dan tawdhu' di hadapan Allah SWT Pemilik Al-Guran. Sikapnya terhadap Al-Guran adalah sikap geneasi pertama Islam iaitu generasi para sahabah yang tidak mengambil sebagai Al-Guran sebagai media untuk popular melalui majlis tilawah tetapi mengambil Al-Guran sebagai panduan hidup bagi mengatur ehwal zahir dan bathinnya di samping Baginda Rasulullah s.a.a.w. sebagai pentafsir secara teori dan amali baginya. Bila hubungan intim sudah terjalin dengan kalamullah tersebut, akan terbitlah perasaan tidak mahu berpisah walaupun sesa'at, rindu untuk bersamanya dan tenang serta senang bila dapat kesempatan untuk membacanya. Hati mukmin seperti sahaja yang dapat mengecapi nikmat iman terhadap Al-Guran dalam ayat ini iaitu bertambah imannya bila mendengar bacaan atau menbacanya sendiri dengan penuh tadabbur untuk mengambil panduan daripadanya.


Ketiga : Bertawakkal kepada Allah SWT dalam setiap perkara


Tawakkul atau tawakkal adalah buah daripada yakin yang sempurna. Yakin pula dicapai dengan ilmu yang mantap dari sumber yang benar lagi terpecaya. Tanpa yakin tidak mungkin adanya tawakkal. Seorang mukmin yang sejati memiliki keyakinan yang sempurna dan ia hidup di atas keyakinan tersebut dalam semua perkara. Penyerahan diri secara total kepada ketentuan dan peutusan Allah SWT ini dilakukan kerana ia yakin dan sangat percaya bahawa Dialah penentu segala perkara, dan dia hanyalah seorang hamba yang tidak punya banyak pilihan dalam hidupnya melainkan apa yang telah ditentukan oleh Tuannya iaitu Allah 'Azza wa Jalla. Baginya keputusan dan ketentuan Allah SWT itulah sahaja keputusan dan ketentuan yang pasti dan mesti diterimanya dengan penuh keimanan dan keredhaan. Walaupun sukar baginya untuk menerima dan melaksanakan keputusan tersebut, akan tetapi kesukaran itu menjadi enak dan lazat bila ia didasari oleh keimanan dan keyakinan bahawa Allah SWT adalah penolong dan pembantu yang tiada tolok bandingnya. Justeru itu, seorang mukmin sejati itu tidak akan bimbang dan risau terhadap apa yang bakal ditempuhinya dalam menunaikan keta'atannya kepada Allah SWT. Lihatlah jaminan Allah SWT terhadap orang seperti ini di dalam firman-Nya yang bermaksud :


"Dan janganlah kamu merasa hina dan berdukacita (sedih) kerana kamulah yang orang yang paling tinggi darjatnya jika kamu benar-benar beriman (mukmin)"


Keempat : Senantiasa mendirikan solat

Solat merupakan manifestasi bagi keimanan seseorang mukmin sejati kepada Allah SWT, Rasulullah s.a.a.w., Hari Akhirat dan dasar-dasar keimanan yang lain. Ia adalah jalan utama untuk mengeratkan hubungan di antara di seorang hamba dengan Tuhannya. Tanpa solat, maka putuslah hubungan tersebut dan jauhlah ia daripada sebarang kebaikan kerana setiap kebaikan itu hendaklah dibina di atas keta'atan yang sempurna terhadap Allah SWT dan solat merupakan keta'atan yang paling utama. Lantaran itu, Allah SWT berfirman yang maksudnya :


"Sesungguhnya solat itu (senantiasa) mencegah (seseorang) daripada perbuatan ya ng keji dan mungkar".

Solat yang dimaksudkan di dalam ayat ini ialah solat yang ditunaikan dengan menyempurnakan semua syarat dan rukunnya, serta difahami falsafah dan prinsipnya juga dihayati setiap perbuatan dan ucapan di dalamnya. Ia juga hendaklah diambil daripada Baginda Rasulullah s.a.a.w. kerana Baginda s.a.a.w. telah bersabda yang kira-kira bermaksud:

"Solatlah kamu sepertimana kamu melihat aku solat".


Bagaimana kita dapat melihat Baginda s.a.a.w. solat dan meneladaninya padahal Baginda s.a.a.w. telah wafat?


Benar, Baginda s.a.a.w. telah lama meninggalkan kita, tetapi pewarisnya masih ada dan tetap akan ada sehingga ke Hari Giyamah iaitu para ulama' yang soleh lagi wara'. Merekalah yang mewarisi khazanah nabawiyyah yang mereka terima dan ambil daripada guru-guru seperti mereka dari generasi-generasi sebelum mereka. Para solihin solat seolah-olah mereka melihat Allah SWT sehingga mereka tidak tahu apa yang berlaku di sekeliling mereka dan kalau mereka tahupun, mereka tidak terdaya untuk memperdulikannya kerana terlalu khasyi' dan sibuk dengan Tuhan mereka. Zahir dan bathin mereka tunduk dan menyembah Allah SWT dengan penuh gerun dan kehambaan. Mereka pada hakikatnya tiada di dunia ini walaupun jasad mereka dapat dilihat. Beginilah keadaan mereka di luar waktu solat, senantiasa mengeratkan hubungan dengan Allah SWT dengan melakukan berbagai-bagai amalan kebaikan yang boleh mendekatkan diri kepada-Nya walaupun amalan tersebut harus. Dengan itu, terpancarlah kemuliaan akhlag dan kehalusan adab daripada keperibadian mereka di mana ia merupakan buah yang keluar daripada hati dan jiwa yang subur dengan keta'atan terhadap Allah SWT.


Kelima : Menafkahkan harta kerana Allah SWT


Harta atau dalam istilah kami - dunia - merupakan punca segala kejahatan dan keburukan walapun ia ada manfa'atnya. Ia sangat dicintai oleh manusia yang dikuasai oleh hawa nafsu dan mengikut telunjuk syaitan yang dilaknat. Ada manusia yang sanggup meninggalkan kewajiban Islam dan melanggar larangannya semata-mata kerana ingin memperolehi dunia. Lantaran itu, ada orang yang sengaja meninggalkan solat fardhu atau meringan-ringankannya, memakan hak orang lain dengan jalan bathil, menyalahgunakan kuasa dan mengkhianati amanah dan sebagainya. Akan tetapi, seorang mukmin hakiki, rela menafkahkan hartanya semata-mata kerana menunaikan perintah Allah SWT sama ada ia perintah berzakat, bersedekah atau pemberian harus yang lain. Bezanya mereka berbuat demikian bukan kerana ingin mendapatkan rebet cukai dengan berzakat atau pujian dan sanjungan dengan sedekah tetapi kerana menta'ati Allah SWT dan Rasul-Nya s.a.a.w. Mereka menyakini bahawa harta atau dunia ini adalah kurniaan Allah SWT semata-mata yang bukan sahaja untuk kepentingan dan keperluan mereka tetapi juga untuk orang lain. Mereka sangat bimbang terhadap ancaman siksa daripada Allah SWT kerana tidak menunaikan hak orang lain yang ada pada harta mereka. Bahkan dengan menjauhkan diri daripada kecintaan terhadap dunia akan mendekatkan diri mereka kepada Allah SWT dan mudah untuk melakukan keta'atan. Mereka tidak mahu menjadi seperti sebahagian usia yang diperhambakan dan diperalatkan oleh dunia. Bagi mereka dunia itu hanyalah sarana untuk mencapai kehidupan akhirat yang bahagia, bukannya matlamat hidup yang hakiki.


Oleh kerana itulah, para solihin memilih untuk hidup fagir iaitu hanya berhajat kepada Allah SWT dan menerima segala kurniaan-Nya dengan penuh qana'ah (menerima seadanya). Mereka hanya mengambil dunia ini sekadar yang diperlukan oleh diri dan orang berada yang di bawah tanggungjawab mereka. Kalau dikurniakan harta yang lebih, ia akan dikongsikan dengan orang lain melalui amalan-amalan zakat, sedekah, tabarru' dan sebagainya. Mereka meninggalkan mahkluk yang fana' dan bergantung sepenuhnya kepada Allah Tuhan yang Kekal Abadi.


Nah! Apa yang kuhidangkan untuk kalian ini ialah santapan hati dan jiwa. Tiga yang pertama adalah sifat hati seorang mukmin sejati manakala bakinya adalah sifat yang zahir. Tugas kita sekarang ialah menilai diri, bukannya menunding jari kepada orang lain. Adakah kita memiliki hati dan keperibadian seperti itu? Atau kita hanya mengaku mukmin tanpa bukti lalu lemas dalam angan-angan yang dinyalakan oleh hawa nafsu dan disemarakkan oleh syaitan? Kalau kita sibuk melihat keaiban diri, nescaya kita tiada masa dan kesempatan untuk melihat keaiban orang lain. Jika kita bersedia untuk mencerca diri sendiri, nescaya kita tidak akan sanggup menghina orang lain.


Teladanilah orang-orang dahulu yang soleh. Mereka lebih baik daripada kita walaupun hidup tanpa teknologi. Mereka lebih bijak daripada kita walaupun bukan graduan universiti. Mereka lebih maju daripada kita walaupun mengenepikan duniawi. Mereka cemerlang dan terbilang kerana mereka memilki sifat hamba dan khalifah Allah yang sejati. Seluruh struktur institusi mereka dibina di atas dasar iman dan tagwa, berpandukan syari'at dan disinari oleh cahaya akhlag dan adab yang mulia. Ummat terdahulu dibina oleh individu yang soleh lalu melahirkan keluarga yang soleh dan membentuk masyarakat yang soleh yang akhirnya membangunkan daulah yang soleh. Pemimpinnya tawadhu' (merendah diri) walaupun berstatus khalifah Allah SWT kerana senantiasa gerun terhadap Allah SWT dan menghayati sifat kehambaannya. Mereka tidak berebut-rebut apatah lagi bercakaran sesama sendiri untuk menjadi pemimpin kerana mereka tahu bahawa orang yang paling layak untuk memimpin dan diberikan kesetiaan (wala') adalah orang yang paling tinggi darjah keimanan dan ketagwaannya yang terbukti dengan kesolehannya. Bahkan mereka tidak sama sekali menggunakan kedudukan dan amanah kepimpinan yang diberikan untuk meraihkan keduniaan bagi kepentingan diri sendiri dan kelompoknya. Mereka benar-benar pemegang amanah kerana mereka akan dipersoalkan di Hari Mahsyar nanti. Inilah pemimpin idaman setiap mukmin sejati dan tanggungjawab kita ialah melahirkan pemimpin seperti ini untuk menyelamatkan ummah dan alam ini. Ketahuilah, bahawa kita juga akan disoal tentang tanggungjawab dalam urusan imamah dan giyadah kerana Baginda Rasulullah s.a.a.w. telah bersabda yang mafhumnya :

"Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu (pasti) akan disoal tentang orang yang dipimpinnya".

Wallahu a'lam.















Tuesday 5 May 2009

Siri 2 : Sadah Bani Alawi BUKAN Syi'ah !!!

Dalam Siri 1 sebelum ini, aku telah sebutkan bahawa aku akan kemukakan hujjah dan dalil yang membuktikan bahawa kami, sadah Bani Alawi, tidak ada kena mengena dengan golongan syi'ah baik rafidhah, imamiyyah, zaidiyyah mahupun firgah syi'ah yang lainnya. Dalam posting ini, aku akan kemukakan sebahagian daripada pandangan-pandangan tokoh-tokoh kami dan tokoh ulama' sunni yang lain mengenai pegangan dan keyakinan, aliran figh dan tharigah yang kami ikuti. Pada padanganku, ia sudah cukup untuk membuktikan bahawa kami BUKAN syi'ah dan tidak akan menjadi pengikut syi'ah sampai ke Hari Giyamah kerana sesungguhnya golongan syi'ah, walau daripada firgah mana sekalipun, adalah termasuk dalam firgah yang sesat dan ahli bid'ah dhalalah sesuai dengan hadith shahih riwayat para ulama' hadith sunni yang amanah dalam nagal(pemindahan hadith) dan magal(tafsiran hadith).

Di dalam kitab al-Kibrit al-Ahmar karangan al-Imam Abdullah Al-'Aidarus bin Abu Bakr Assakran, terdapat kenyataan beliau mengenai 'agidah, aliran figh dan tharigah yang kami ikuti. Aku sebutkan sebahagian daripadanya untuk posting ini. Beliau telah berkata :


'Agidah Ahlussunnah wal Jama'ah adalah sebagaimana yang terdapat di dalam syair Syeikh 'Abdullah bin As'ad al-Yafi'i r.a. iaitu bait-bait berikut:


Maha Tinggi Allah daripada bentuk, tempat atau masa,

juga daripada apa sahaja yang dapat digambarkan oleh fikiran kita,

dan daripada sifat kekurangan, keserupaan, sekutu, bapa,

anak dan isteri-isteri. Dialah Allah yang Maha Besar,

yang Sedia ada, yang Maha Berkata-kata tanpa huruf...


dan bait-bait seterusnya yang menjelaskan pegangan Ahlusunnah wal Jama'ah aliran Asya'irah dan Maturidiyyah yang mentahbitkan sifat bagi Allah SWT.


Beberapa bait terakhir menjelaskan keyakinan mereka berhubung dengan sahabah iaitu :


Sebaik-baik masa (kurun) adalah masa sahabah,

urutan yang terbaik di antara mereka

adalah tepat seperti yang mereka tetapkan,

mereka semua adalah bintang-bintang yang membawa petunjuk

semunya adil dan baik hati,

kemuliaan mereka masyhur dan tidak bisa diengkari,

yang utama di antara mereka adalah al-Shiddig yang memiliki kemuliaan,

sedangkan yang keempat daripada sudut keutamaan

adalah Haidar (Sayyidina Ali ) yang memiliki kemuliaan.


Selain daripada beliau, al-Habib Ali bin Abu Bakr Assakran r.a. juga telah menjelaskan pegangan kami sadah Bani Alawi seperti berikut:

Duhai saudaraku, jauhilah bid'ah dan para pelakunya. Tinggalkanlah dan singkirkanlah segala bid'ah. Berpalinglah dari para pelakunya dan jangan bergaul dengan mereka. Ketahuilah, sumber bid'ah di dalam perkara usul (agidah) ada tujuh, sebagaimana yang telah disebutkan oleh para ulama', iaitu:


Pertama: Al-Mu'tazilah yang menyatakan bahawa hambalah yang menciptakan amal-amal mereka. Kelompok ini meyakini bahawa Allah tidak mungkin dapat dilihat (di dunia mahupun akhirat) serta Allah wajib memberikan pahala kepada orang-orang yang berbuat kebaikan dan wajib pula menyiksa orang yang melakukan maksiat. Golongan ini berpecah menjadi 20 aliran.

Kedua: Syi'ah iaitu orang-orang yang melampaui batas dalam mencintai Sayyidina Ali r.a. Mereka berpecah menjadi 22 aliran.

Ketiga: Khawarij iaitu mereka yang terlalu berlebih-lebihan dalam membenci Sayyidina Ali r.a. Menurut pandangan mereka Sayyidina Ali r.a. dan orang-orang yang melakukan dosa besar adalah kafir. Golongan ini berpecah menjadi 20 aliran.

Keempat : Murji'ah iaitu golongan yang berpendapat bahawa jika seseorang telah beriman, maka maksiat tidak akan membawa keburukan baginya dan jika seseorang itu kafir, maka ta'at tidak bermanfa'at baginya. Mereka berpecah menjadi 5 aliran.

Kelima : Najjariyyah iaitu mereka yang sependapat dengan Ahlussunnah wal Jama'ah dalam masalah penciptaan amal, tetapi dalam masalah peniadaan sifat-sifat Allah SWT dan bahawasanya Kalamullah itu baharu, mereka sama dengan mu'tazilah. Mereka berpencah menjadi 3 aliran.

Keenam : Jabariyyah pula merupakan golongan yang berpendapat bahawa manusia sama sekali tidak memiliki ikhtiar. Mereka terdiri daripada 1 aliran sahaja.

Ketujuh : Musyabbihah pula adalah golongan yang berpendapat bahawa Allah SWT memiliki tubuh yang sama dengan makhluk-Nya dan juga dapat menitis (hulul) kepada makhluk-Nya. Mereka juga terdiri daripada 1 aliran sahaja.

Inilah 72 golongan yang akan menetap di dalam neraka. Adapun golongan yang selamat adalah Ahlussunnah wal Jama'ah.

to be continued..



























Siri 1 : Sadah Bani Alawi BUKAN Syi'ah!!!

Akhir-akhir ini ada saja fitnah yang muncul di tengah-tengah ummat yang sememangnya sedang tenat bergelut dalam krisis keyakinan, perselisihan faham, akhlaq, perpecahan dan banyak lagi bentuk krisis yang mana semua krisis itu boleh disimpulkan dalam satu tajuk 'Krisis Ilmu dan Iman'.
Ada di antara fitnah itu timbul semula setelah sekian lama tidak kedengaran dan kelihatan di khalayak ramai. Namun begitu, setelah promosi besar-besaran dilakukan oleh pihak tertentu untuk ' memunculkan ' semula fitnah tersebut maka timbullah ia di tengah-tengah ummat ini yang tidak lebih dari 'garam' bagi menambahkan kepedihan atau memedihkan semula luka lama yang masih lagi belum sembuh. Syiah - itulah fitnah lama yang telah muncul semula..boleh jadi ia adalah tanda bahawa akhir zaman telah tiba.

Dalam masa yang sama, Ahlulbait al-Nabawi khususnya dari kalangan Sadah Aali Abi Alawi atau Bani Alawi atau Ba'alawi atau Alawiyyin telah berfungsi dan berperanan semula di pentas dakwah dengan tujuan membawa seluruh manusia kembali kepada Allah SWT dan Rasul-Nya s.a.a.w. dalam semua urusan hidup dengan mengikuti jalan yang telah diajarkan oleh Baginda Rasul s.a.a.w., para sahabah yang mulia dan para solihin yang benar. Maka muncullah nama-nama besar seperti Al-Habib Umar bin Muhammad bin Salim Bin Hafiz Bin Syeikh Abu Bakr hafizahullahu Ta'ala, Al-Sayyid Muhammad bin Alawi bin Abbas Al-Idrisi Al-Hasani dan lain-lain lagi. Serentak dengan itu, amalan generasi Salaf Sadah Bani Alawi kembali segar setelah sekian lama lesu lalu bergemalah di seluruh pelosok alam dengan bacaan Ratib-ratib dan wirid-wirid al-Imam Umar bin Abdurrahman Alattas dan al-Imam Abdullah bin Alawi al-Haddad, bahkan maulid-maulid yang telah disusun oleh tokoh-tokoh ulama' merekapun turut dikumandangkan sehingga alam ini tidak sunyi daripada solawat dan salam serta madah terhadap Baginda Rasulullah s.a.a.w.

Serentak dengan itu, timbul pula golongan ' Pembid'ah ' dan ' Penyesat ' ummat yang tidak lebih dari sekadar tukang pahat yang berbunyi setelah rumah siap dibina sedangkan sewaktu orang bertungkus lumus membinanya mereka tidak kelihatan langsung. Mereka membid'ahkan tahlil, bacaan yasin di malam juma'at, gunut subuh, talgin dan sebagainya. Mereka mendakwa ada hujjah dan dalil lalu menjaja pandangan mereka ke sana dan ke mari dan disebarkan dalam pelbagai media. Tujuan mereka hanyalah satu iaitu untuk menjauhkan orang awam daripada amalan yang telah sekian lama berakar umbi dalam masyarakat tanpa mereka sedar atau mereka memang tidak mahu sedar bahawa para ulamak yang memperkenalkan amalan tersebut suatu masa dulu mempunyai hujjah dan dalil mereka sendiri yang tidak terpisah daripada sumber dan kaedah syara'. Akibatnya ada di antara orang awam yang terpengaruh lalu berpegang dengan 'keyakinan dan pandangan' mereka kerana takut terjerumus dalam kancah kesesatan yang akan membawa ke neraka. Ya Allah! Kenapa begini keadaan kami bila Sayyiduna Rasulullah s.a.a.w. sudah tiada di dunia ini?

Adakah kemunculan semua fenomena ini secara kebetulan atau ia adalah ketentuan Allah SWT yang Maha Berkuasa ke atas segala makhluk-Nya yang tidak memiliki apa-apa ini?

Aku akan kemukakan pandanganku mengenai 'Kenapa muncul semula tokoh Ahlulbait khususnya Sadah Bani Alawi ' di pentas dakwah hari ini dalam posting yang berasingan. Dalam posting ini, aku hanya ingin mengemukakan ketegasan kami Sadah Bani Alawi dalam mempertahankan pegangan kami baik daripada sudut 'agidah, figh mahupun tharigah. Semoga dengan penjelasan dan ketegasan ini, tiada lagi yang akan menuduh atau percaya dengan dakwaan segolongan manusia yang tidak segan silu mengenderai atau memperkudakan kami bagi mencapai maksud politik mereka bahawa kami adalah syi'ah atau pengakuan bohong mereka bahawa mereka mencintai kami 'kunun'nya cinta mereka itu terhadap kami sesuai dengan tuntutan Al-Guran dan Al-Hadith. Ketegasan kami itu terangkum dalam ungkapan berikut :


نحن الأشعري عقيدة والشافعي فقها والعلوية طريقة

Maksudnya : 'Kami (Sadah Bani Alawi) adalah pengikut aliran Imam Abul Hasan al-Asy'ari dalam aqidah, mazhab Imam al-Syaf'i r.a. dalam figh dan aliran Alawiyyah dalam tharigah'

Inilah ketegasan kami sejak zaman berzaman dan akan kubuktikan dengan tulisan-tulisan para salaf kami seperti Muhyinnufus wa syams al-syums al-Imam Abdullah al-'Aidarus bin Abu Bakr Assakran bin Abdurrahman Aseggaf radhiyallahu 'anhum, Gutb al-Irsyad wa ghauts al-'Ibad wal bilad al-Imam Abdullah bin Alawi al-Haddad dan lain-lain lagi. Bagi kami, pandangan mereka adalah hujjah dan pegangan kerana mereka mengambilnya dari generasi pendahulu mereka sehingga kepada Baginda Rasulullah s.a.a.w. dan itulah pegangan dan keyakinan yang benar lagi mu'tabar. Kalaupun ada beberapa individu dari kalangan Bani Alawi yang terjerumus ke dalam kancah fitnah syi'ah ini, maka mereka sebenarnya telah tergelincir dari landasan kebenaran lalu jatuh ke dalam jurang kesesatan dan kebathilan. Tindakan dan pandangan mereka bukanlah hujjah, apatah lagi untuk dipegang oleh ummat. Keyakinan dan pegangan kami ini bukan diasaskan di atas fanatik kesukuan atau bangsa tetapi ia terbina di atas hujjah dan dalil syara' yang terang lagi nyata... to be continued





Monday 4 May 2009

Siri 1: Rumah siap pahat berbunyi!

Pada mulanya aku tidak berminat untuk mengikuti perkembangan semasa mengenai serangan pemikiran dan idea yang dilancarkan oleh sekelompok kecil 'Kaum muda' terhadap para solihin dan sesiapa sahaja yang tidak sealiran dan sefahaman dengan mereka. 'Kaum muda' ini kelihatan sangat gelojoh dan tergopoh-gapah dalam membid'ah dan menyesatkan orang lain dengan slogan menegakkan Al-Quran dan al-Sunnah, memurnikan 'aqidah dan meluruskan salah fahaman ummah terhadap ajaran Islam. Mereka tidak segan silu melabelkan dan menghukum masuk 'neraka' orang yang beramal dengan amalan baru yang tidak pernah dianjurkan oleh Baginda Rasulillah s.a.a.w. Alasannya cuma satu iaitu ' Nabi s.a.a.w. tak pernah buat atau suruh ' berdasarkan kepada fahaman cetek dan dangkal mereka terhadap hadith sahih yang masyhur mengenai persoalan bid'ah ini.


Namun, apa yang paling mengusik jiwaku, bahkan membangkitkan sifat ke'singaan'ku ialah cercaan, tohmahan dan tuduhan sesat yang mereka lemparkan terhadap golongan sufi sunni yang telah terbukti kesolehan, ketagwaan, kezuhudan dan kemuliaan mereka. Aku tidak ingin menari mengikut rentak mereka apatah lagi menyanyi mengikut irama mereka kerana tari dan irama mereka sumbang, bahkan lagu mereka tidak dapat dikategorikan dalam genre yang mu'tabar. Cuma aku berhasrat untuk melontarkan pandanganku terhadap mereka daripada perkspektif yang sangat 'basic' iaitu perkspektif 'aqidah, syari'ah dan akhlag. Inilah tiga kerangka asas (basic framework) bagi keseluruhan ajaran Islam yang tulin. Media ini hanya akan memaparkan cetusan pemikiran mengenai isu tersebut, manakala perincian perbahasannya hendaklah dibuat dalam forum yang lebih sesuai, jika perlu... to be continued.

...dan tintaku mula berbicara

Kumulai bicara sulungku ini dengan Nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Kupohon ampun daripada-Nya andaikata ada salah dan silapku dalam bicaraku nanti..dan kumohon perlindungan-Nya daripada kesesatan dan menyesatkan orang lain dengan tinta digitalku ini. Untuk hari-hari yang mendatang, selagi ada umurku, aku ingin sesiapa sahaja yang singgah di Blog usangku ini agar mendapat manfa'at darinya khususnya manfa'at bagi hati dan jiwa mereka. Di sini aku berhasrat benar untuk menyampaikan gagasan fikiran, kemuliaan adab, keikhlasan amalan dan ketinggian martabat golongan solihin yang kian dilupakan oleh manusia yang sedang hanyut dibawa arus dunia yang mempersonakan sesiapa sahaja dari kalangan bani insan. Dalam pada itu, aku juga amat ingin untuk menggunakan sarana global ini untuk menyampaikan dan menerima teguran yang konstruktif agar aku dan ummat ini mendapat kebaikan daripada usahaku yang amat sedikit ini. Maksudku tidak lain hanyalah untuk menghidangkan hati dan jiwa para tetamuku yang sudi singgah di Blog usang yang kunamakan 'Raudhatul Mustofa' ini dengan santapan ilmu dan nasihat agama serta pesanan iman.

Blog ini kunamakan demikian kerana perasaan rinduku yang tidak pernah kunjung padam pada Junjungan Mulia Sayyidina wa Maulana Muhammad al-Mustofa, juga kerana hasratku yang telah lama terpendam untuk hidup bersama Baginda s.a.a.w. di negeri akhirat nanti. Justeru itu, kuharap rinduku nanti akan terlerai jua bila Tuhanku mentakdirkan untukku akan pertemuan dengannya...dan semoga di setiap kali tangan kutadah ketika munajatku, akan menitislah titisan kasihnya untukku agar hatiku tidak kering dan jiwaku tidak kontang dari siraman cintamu padaku wahai Rasulallah s.a.a.w. , kekasih dan ikutanku yang mulia di dunia dan akhirat...